Muhasabah
Semalam penulis mendengar berita kawan kepada kawan penulis baru sahaja meninggal dunia. Umurnya belum sampai 40 tahun. Beberapa orang di pantai timur mati akibat banjir. Begitu juga kemalangan maut di lebuhraya melibatkan beberapa orang tua dan muda. Kawan penulis pernah memberitahu kepada penulis yang kita akan mati bila-bila masa. Walaupun kata-kata itu “simple” tapi maknanya cukup “power”. Setiap kita akan menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah tindakan kita, our action, sebelum hari yang akan tiba bila-bila masa itu. Cukupkah muhasabah yang telah kita lakukan? Atau kita rasa tak perlu lagi muhasabah kerana kita rasa masih ada banyak masa? Banyak masa dengan bila-bila masa tentulah dua makna yang berbeza. Sekiranya dirujuk kepada pakar bahasa Melayu tentulah mereka mengatakan yang banyak masa dengan bila-bila masa tidak sama.
Orang yang mengatakan dia masih ada banyak lagi masa pun tak tahu berapa banyak masa yang dia ada. Apakah muhasabah yang kita kena lakukan setiap hari? Pernahkah kita mendengar kata-kata “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab?” Walaupun umur semakin bertambah hari demi hari, manusia tetap mencintai dunia dan melupakan akhirat. Ada yang hendak membesarkan rumah, nak tambah dapur, nak tukar kereta baru, dari pakai kereta nak tukar ke MPV, ada yang nak kahwin lagi dan bermacam-macam lagi yang kebiasaan kesenangan yang ada. Tetapi manusia tidak sedar yang setiap detik masa yang diperuntukkan di dunia ini adalah supaya manusia beribadat kepada Pencipta mereka.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariaat:56).
Keseronokan, kesenangan dunia memang sudah menjadi idaman manusia sejak dahulu lagi; zaman dulu atau zaman moden, miskin atau kaya, tua atau muda.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali ‘Imran:14).
Pertama-tama kita perlu lihat diri kita sendiri sebelum kita melihat orang lain. Adakah kita termasuk di dalam senarai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam ayat di atas? Cintakah kita kepada kesenangan hidup di dunia seperti yang disebut; wanita-wanita, anak-pinak, kuda pilihan, binatang ternakan, ladang, emas, perak dan banyak lagi kesenangan-kesenangan yang lain sehingga melupakan diri kita dari menyembah Allah Yang Maha Esa? Na’uzubillaahi min zaalik.



Tinggalkan jawapan